Home >> STAR Ipoh >> Chot Awang

Chot Awang


Allah Maha Pemurah dan Maha Penyayang
Chot Awang
Written by Abu Haziq   
Wednesday, 08 September 2010 12:18

Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin. Ambil maklum yang saya telah memaafkan semua dosa orang terhadap saya.

Semoga semua ibadat kita InsyaAllah diterima Allah.

Allah Maha Pemurah juga Maha Penyayang. Sudah diturunkan rahmat dalam bulan ramadhan ditawarkan pula dalam Syawal ganjaran yang sangat hebat. Ambillah seperti sabda Rasulullah SAW:

“Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka itu seperti berpuasa sepanjang tahun.” [Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Sahih Muslim)

 
Tuang Solat Jumaat
Chot Awang
Written by Abu Haziq   
Wednesday, 08 September 2010 10:13

Selalunya saya takut nak tuang solat Jumaat tetapi Kalau 1 Syawal tahun ini jatuh hari Jumaat saya insyaAllah syok juga nak tuang solat Jumaat setelah bersolat Eid.

Soalan: “Apakah benar jika hari raya berlaku pada Hari Jumaat maka sesiapa yang menunaikan Solat Hariraya tidak wajib lagi untuk dia menunaikan Solat Jumaat?

Jawapan Dr Mohd Asri Zainul Abidin Mantap Mufti Perlis:

Para fuqaha (sarjana Fekah) berbeza pendapat dalam hal ini. Di kalangan ulama, terutama dalam Mazhab Hanbali menyatakan tidak wajib Jumaat untuk makmum yang sudah menghadiri solat Hariraya, kecuali imam. Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w ketika hariraya berlaku pada Hari Jumaat :

قَدِ اجْتَمَعَ فِى يَوْمِكُمْ هَذَا عِيدَانِ فَمَنْ شَاءَ أَجْزَأَهُ مِنَ الْجُمُعَةِ وَإِنَّا مُجَمِّعُونَ

“Telah berkumpul pada hari kamu ini dua hariraya, sesiapa yang mahu memadailah baginya solat hariraya bagi solat Jumaat (tidak wajib Jumaat), adapun kami (Nabi s.a.w) akan menunaikan Jumaat” (Riwayat Abu Daud, Ahmad, Ibn Majah. Dinilai sahih oleh al-Hakim dan dipersetujui oleh al-Zahabi. Al-Albani juga menyatakan sahih).

Berdasarkan hadis di atas, maka seseorang diberi pilihan sama ada hendak menunaikan solat Jumaat setelah menunaikan Solat Hariraya, atau berpada dengan solat berkenaan. Maka dengan itu dia wajib menunaikan Solat Zohor. Terdapat pendapat di kalangan ulama bahawa Zohor juga tidak wajib disebabkan Nabi s.a.w tidak pun menyebut hal ini dan Hari Jumaat yang diwajibkan adalah Solat Jumaat, maka apabila ia digugurkan tidak perlu mengganti apa-apa. Antara yang berpendapat tidak wajib diganti dengan Zohor ialah al-Imam Syed Sabiq dalam Fiqh al-Sunnah (1/267, Beirut: Dar al-Fikr).

 
Berhari Raya
Chot Awang
Written by Abu Haziq   
Friday, 03 September 2010 15:49

Menziarahi Kubur Dan Bersedih Dengannya

Ini ada satu soalan yang ditujukan dan dijawab oleh Mantan Mufti Perlis Dr Asri untuk kita ambil iktibar.

Soalan : Dr Asri, selamat hari raya, walaupun banyak hari lagi. Soalan, biasanya setiap pagi hariraya saya dan keluarga akan ke kubur arwah ibu kami. Hubungan kami dahulu amat rapat. Apabila di kubur, saya akan cuba ingat memori lama dengan ibu dan saya akan menangis sepuasnya. Saya ceritakan perkara ini kepada kawan sepejabat saya. Dia kata tak baik bersedih pada hari raya. Dia pun ada mention nasihat Dr Asri supaya jangan sedih pada hari raya. Saya sudah lama terbiasa sedih pada hari raya. Rasanya kosong pula kalau tidak menangis pada hari raya. Boleh Dr Asri jelaskan sedikit panduan hari raya?

Ina, Johor

Jawapan Dr MAZA : Saudari Ina yang dihormati. Saya percaya saudari seorang yang sentiasa ingin mencari redha Allah dan RasulNYA, sebab itu saudari ingin memastikan hariraya saudari mengikut panduan yang betul. Saudari hariraya adalah hari yang dikhususkan kepada kita untuk bergembira, bukan untuk bersedih. Banyak perkara jika hendak disebutkan mengenai hari raya, namun dalam ruang yang terbatas ini saya jawab persoalan saudari seperti berikut:

1. Hari raya adalah hari membesarkan Allah dan bersyukur atas kurniaanNya. Kita bertakbir tanda kemenangan, bukan tanda kesedihan. Irama takbir ala melayu agak sedih. Jika kita dengar takbir yang dilaung di dunia Islam yang lain, khususnya di dunia Arab, kita akan tahu irama takbir mereka lebih bersemangat dan lebih mendekati perasaan kemenangan. Firman Allah:

“..dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur”. (Surah al-Baqarah: 185).

Ayat ini menjelaskan tentang kedatangan hari raya sebagai tanda syukur atas nikmat kurniaan Allah. Maka kita disuruh bertakbir membesarkan Allah pada hari raya. Ini semua menzahirkan kejayaan dan kegembiraan.

2. Hari raya bukan hari menzahirkan suasana sedih, sebaliknya hari raya menzahirkan suasana kekuatan, kegembiraan dan perpaduan umat Islam. Kata Ummu Atiyyah r.aha:

“Rasulullah s.a.w memerintahkan kami (kaum wanita) keluar pada hari raya fitri dan adha; termasuk para gadis, wanita haid, anak dara sunti. Adapun mereka yang haid tidak menunaikan solat tetapi menyertai kebaikan dan seruan kaum muslimin” (Riwayat al-Bukhari).

Suasana sebegini menimbulkan perpaduan, kekuatan dan kegembiraan. Wanita haid pun ke suruh untuk keluar ke tempat solat, sekalipun bukan untuk solat tetapi untuk menyertai suasana kemeriahan kaum muslimin.

3. Justeru itu, Nabi s.a.w bersolat di tempat lapang atau musolla (tempat solat). Baginda tidak bersolat di masjid baginda, sekalipun masjid Nabi sangat mulia. Ini bagi menzahirkan suasana gembira dan menggambarkan kepada masyarakat kekuatan umat Islam. Kata Abu Sa’id al-Khudri:

“Rasulullah s.a.w itu pada Hariraya Fitri dan Adha keluar ke musolla. Perkara pertama yang dilakukannya adalah solat” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Kata al-Hafizd Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari:

“Musollah itu tempatnya diketahui di Madinah, di mana antaranya dan masjid sejauh seribu hasta”.

Maka afdal solat di tempat lapang untuk lebih menzahir suasana tersebut. Melainkan tempat lapang sukar didapati, atau hujan atau memberikan kesusahan yang lain kepada orangramai. Al-Imam al-Nawawi (wafat 676H) ketika mensyarahkan hadis Nabi s.a.w bersolat di tempat lapang itu menyebut:

“Hadis ini menjadi dalil untuk mereka yang berpendapat disunatkan keluar bersolat hari raya di musolla. Ia lebih afdal dari ditunaikan di masjid. Inilah amalan orangramai di pelbagai negara. Adapun orang Mekah, mereka sejak dahulu bersolat di masjid (al-Masjid al-Haram)”. (al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 6/483. Beirut: Dar al-Khair).

4. Betapa suasana kegembiraan digalakkan pada hari raya, maka Nabi s.a.w mengizinkan atau menggalakkan hiburan seperti nyanyian, pertunjukan dan sukaria yang lain selagi tidak melanggar syariat. Dalam hadis daripada isteri Rasulullah s.a.w Ummul Mukminin ‘Aishah r.aha:

bahawa pada hari raya Fitri atau Adha, Abu Bakr masuk ke rumahnya (rumah ‘Aishah) dan Nabi s.a.w berada di sisinya. Ketika itu ada dua orang gadis sedang menyanyi mengenai kebanggaan Ansar pada Hari Bu‘ath (peperangan antara Aus dan Khazraj). Abu Bakr berkata: “Suara syaitan” (sebanyak dua kali). Nabi s.a.w bersabda: “Biarkan mereka wahai Abu Bakr! Setiap kaum ada hari raya dan sesungguh hari ini adalah hari raya kita” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam riwayat Muslim yang lain menyatakan mereka memukul gendang sebagai alatan muzik iringan nyanyian mereka. Banyak hadis lain menunjukkan keizinan atau galakan hiburan pada hari-hari kegembiraan seperti hari raya, hari perkahwinan dan seumpamanya. Maka, dendangan lagu hari raya yang menimbulkan suasana kegembiraan adalah digalakkan. Adapun lagu-lagu yang menimbulkan kesedihan ia bertentangan dengan konsep hari raya dalam Islam.

5. Kata Ummul Mukminin ‘Aishah r.ha:

“Pada hari raya orang Sudan membuat pertunjukan permainan perisai dan lembing. Aku tidak pasti sama ada aku yang meminta, atau baginda yang berkata: “Apakah engkau ingin menontonnya?” Jawabku: “Ya”. Lalu baginda menjadikan aku berada belakangnya, pipiku menyentuh pipinya sambil baginda berkata: “Teruskan wahai Bani Arfidah (orang-orang Sudan)”. Sehinggalah aku jemu. Kemudian baginda berkata kepadaku: “Sudah cukupkah (jemukah)?”. Jawabku: “Ya”. Kata baginda: “Kalau begitu, pergilah”. (Riwayat al-Bukhari).

Hadis ini menunjukkan apa-apa pertunjukan, permainan atau gurau senda yang tidak melanggar syariat adalah digalakkan pada hari raya. Bukan satu kecacatan untuk orang yang kuat agama menyertainya, kerana Nabi s.a.w sendiri menonton pertunjukan pada hari raya.

6. Maka, jika berdasarkan kepada hadis-hadis di atas, hiburan kanak-kanak atau dewasa pada hari raya seperti permainan bunga api atau selainnya adalah tidak menyalahi syariat, bahkan digalakkan jika dapat menimbulkan kegembiraan. Begitu juga jamuan pada hari raya, duit raya, hadiah raya dan apa sahaja yang boleh menimbulkan suasana gembira. Namun kesemuanya hendaklah dipastikan dengan kadarnya yang tidak melampaui hukum-hakam syarak.

7. Menziarahi kubur itu pada asalnya disunatkan pada bila-bila masa bagi mengingatkan kita pada hari akhirat. Sabda Nabi s.a.w:

“Aku dahulu melarang kamu menziarahi kubur, namun ziarahi sekarang kerana ia boleh mengingatkan kamu pada hari akhirat” (Riwayat Muslim).

Pada peringkat awal Nabi s.a.w melarang kerana bimbang kesan jahiliah dahulu masih mempengaruhi masyarakat. Apabila kefahaman Islam sudah kukuh, baginda mengizinkan kerana ia membantu mengingatkan hari akhirat. Ertinya, jika sesiapa yang apabila ke kubur akan terpengaruh dengan amalan khurafat, maka mereka ia sepatutnya mengelakkan diri dari menziarahi kubur. Jika ia menyebabkan mengingatkan hari akhirat, maka ia digalakkan.

8. Walaupun menziarahi kubur itu pada asalnya sunat, namun baginda Nabi s.a.w tidak pernah mengkhususkan supaya diziarahi khubur pada hari raya. Perbuatan mengkhususkan hari raya sebagai hari ziarah kubur tidak bersumberkan dari ajaran Nabi s.a.w. Apatahlagi dengan pelbagai upacara yang menyanggahi sunnah Nabi s.a.w yang diadakan oleh sesetengah masyarakat di kubur pada hari raya. Bahkan, jika kita melihat kepada konsep hari raya yang diterangkan, maka perbuatan bersedihan di kubur adalah menyanggahi tujuan hari raya.

9. Pada hariraya disunatkan mandi, berwangian, berpakaian cantik dan berjumpa orang ramai. Dalam hadis Jabir r.a berkata:

“Rasulullah pada hari raya mengambil jalan yang berbeza” (Riwayat al-Bukhari).

Maksudnya, jalan pergi ke tempat dan pulang yang berbeza. Kemungkinan antara hikmahnya untuk berjumpa orang ramai. Maka, berjumpa orang ramai pada hari raya adalah digalakkan dan itu patut menjadi tumpuan, bukan pergi menemui yang telah meninggal dan bersedih di kubur.

10. Pertemuan pada hariraya bukan untuk mencurahkan airmata, tetapi untuk mengucapkan ucapan kejayaan. Para sahabah apabila bertemu pada hari raya mengucapkan TaqabbalaLlah minna wa minka (semoga Allah menerima amalan kami dan kamu)” (lihat: al-Albani, Tamam al-Minnah 354-356). Ucapan-ucapan lain tidak salah selagi mengandungi maksud yang baik dan bukan membawa kepada kesedihan dan kedukaan.

11. Maka, jadikanlah hariraya sebagai hari kegembiraan dan kesyukuran, bukan hari kesedihan.

 
Mengejar Lailatul Qadar
Chot Awang
Written by Abu Haziq   
Monday, 30 August 2010 17:58

Nuzul Quran, 17hb Ramadhan dah berlalu. Banyak negeri diMalaysia memberi kelepasan agaknya untuk mengejar Lailatul Qadar. Lailatul Qadar malam AlQuran diturunkan. Berkatnya malam itu seperti beribadat 1000 bulan. MasyaAllah.

Rasulullah menyuruh umatnya berusaha berlipat kali ganda pada 10 malam terakhir Ramadhan. Terutamanya pula malam-malam ganjil. Digalakkan kita beriktikaf dimasjid pada 10 malam akhir ini. Walau pun setengah pendapat mengatakan beriktikaf diMasjidil Haram sahaja tetapi ini sebenarnya tidak selaras dengan hari 17 Ramadhan, Nuzul Quran yang kita bercuti.

Allah maha pengasih dan maha penyayang. Diadakan malam Lailatul Quran kerana Allah maha pemberi. Kita ditawarkan peluang ini. Usahalah. Mungkin kena kerja keras. Siangnya membuat kerja yang dipertanggung jawabkan dengan iklas dan bersungguh dan menghidupkan malamnya dan beribadat sebanyak mungkin. Ibadat pula perlulah mengikut sunnah seperti yang diajar Rasulullah SAW tidak bidaah. InsyaAllah giatkan lagi malam ini dan harapnya dikabulkan doa kita. Amin.

 
Islam dan Ilmu.
Chot Awang
Written by Abu Haziq   
Wednesday, 25 August 2010 01:35

Alhamdulillah Islam itu agama ilmu. Ianya diturunkan untuk memudahkan kita dalam semua segi. Mana mungkin disamakan orang yang berilmu dengan yang tidak berilmu. Ilmu itu disuruh kita pelajari, beramal dan menyampaikannya.

islam

Saya selalu ingin mengamalkan memberi salam. Kepada yang Islam dan yang bukan Islam. Malangnya amalan masyarakat kita berlainan. Untuk orang Islam diberi salam dan direka ungkapan lain untuk yang bukan Islam. Ungkapan salam 1Malaysia, atau salam sejahtera selalu berkumandang dari kaca TV kita. Assalamualaikum bermakna selamat sejahtera dan samalah juga dengan salam sejahtera. Ramai kalangan kita mengharamkan doa sebagini pada orang bukan Islam. Walhal kita disuruh mendakwahkan semua makluk kejalan Allah. Quran sendiri dijadikan untuk semua dan bukan untuk siMuslim sahaja. Bayangkan Quran hanya untuk siMuslim nescaya petunjuk dariNya tidak dapatlah disampaikan kepada Bilal, Abu Bakar, Umar, Osman, Ali dan lain-lain sahabat apatah lagi Mahathir, Husin, Ong Yoke Lin, Mansor, Harunsani dan yang lainnya. Quran itu petunjuk tapi kita merampasnya untuk gulungan kita yang dilahirkan dari keluarga Islam sahaja. Seruan untuk mengembangkan Islam tidak kesampaianlah jadinya.

Quran itu penuh denagn seruan kebaikan. Salam juga untuk kesejahteraan dan kebaikan. Apabila kita memberi salam pada yang Islam dan bukan Islam, itu menyeru kepada kebaikanlah. Bayangkan semua ajaran dalam Quran kita sembunyikan dari pengetahuan orang kafir supaya surga nanti hanya dihuni oleh orang Islam original sahaja. Mungkin Nabi-nabi sahajalah yang mendapat menafaat dari Islam dan surga Allah.

Kini masyarakat sibuk dengan isu mendoakan orang bukan Islam. Kita dari satu sudut mahu menyeru pada Islam dan kebaikan. Dari sudut lain kita menghalang seruan ini. Apa ilmu yang kita ada dan pakai, wallahuaklam. Selagi sikafir belum mati dia masih mempunyai peluang yang sama dengan siMuslim yang dilahirkan Islam untuk berdua kalimah syahadah. Kewajipan kita semua untuk membantu siMuslim atau sikafir kepada dua kalimah syahadah.

“Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”. (Surah al-Mumtahanah ayat 7-8).

Ayat ini sah membenarkan kita berjiwa Islam terhadap mereka yang bukan Islam dan InsyaAllah memberi gambaran adil tentang aklak Islam sejati.

Dalam hadis yang sahih riwayat al-Nasai dan Abu Daud, sahabah Nabi s.a.w pernah menjampi untuk seorang gila yang bukan muslim dengan Surah al-Fatihah sehingga sembuh. Ketua kabilah lelaki itu memberikan kepada sahabah berkenaan 100 ekor kambing. Nabi s.a.w bersabda kepada sahabah tersebut: “Makanlah, selama ini orang memakan dari jampi yang batil, engkau memakan dari jampi yang sebenar”. Jampi adalah sebahagian dari doa kepada Allah. Hadis ini menunjukkan boleh mendoakan kesembuhan dan kesihatan kepada bukan muslim

Dari kata-kata Abdullah bin Mas’ud:

“Aku seakan masih melihat Rasulullah s.a.w menceritakan tentang seorang dalam kalangan nabi a.s yang kaumnya memukulnya sehingga berdarah, sedangkan dia hanya menyapu darah di mukanya dan berdoa: “Ya Allah! Ampunkanlah kaumku kerana mereka itu tidak tahu”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Rasulullah SAW pula berdoa “Ya Allah! Engkau kuatkan Islam dengan salah seorang dari dua lelaki yang Engkau lebih sayang; Abu Jahl atau ‘Umar bin Al-Khattab”. (Riwayat al-Tarmizi dan al-Hakim, dinilai sahih oleh al-Zahabi). Kedua mereka kafir dan Allah memaqbulkan doa ini tehadap Umar dan MasyaAllah beliau dikabarkan syurga ketika masih hidup.

Amallah kehidupan ini dengan berilmu dan jangan beremosi. Jangan pula kita ikut mereka-mereka itu yang berIslam turut-turutan dari amalan yang entah dari sunnah jenis mana.

Iktiqadlah kita untuk beriman dan beramal soleh dan mengajak kepada kebaikan dan menegah kepada kezaliman. Amin.

 
«StartPrev123NextEnd»

Page 1 of 3